Bismillah...
Assalamualaikum....
|
Source Picture : Google |
Pengenalan
Tanah gambut adalah salah satu daripada tanah bermasalah yang terdapat di negara ini dan memerlukan pengurusan yang khusus sebelum dapat dibangunkan untuk pertanian dengan jayanya. Tanah gambut biasanya wujud di kawasan-kawasan paya atau rata yang kurang baik salirannya. Dalam keadaan semulajadi tanah ini mempunyai paras air yang tinggi dan dalam keadaan terendam dengan air. Kandungan tanah gambut ini kebanyakannya terdiri daripada sisa-sisa tumbuhan yang belum reput sepenuhnya.
Pada umumnya tanah gambut dibahagikan kepada 3 kelas mengikut kedalaman lapisan gambut iaitu:-
· gambut cetek (0.5 m - 1.5 m)
· gambut sederhana (1.5m - 3.0m)
· gambut dalam (>3.0m)
Ciri-ciri Masaalah Tanah Gambut
Diantara ciri-ciri dan masalah utama tanah gambut ialah:-
- Saliran sangat jelik (tidak baik).
- Sangat masam / pH rendah menyebabkan ketersediaan nutrien rendah.
- Paras air tinggi hampir di permukaan tanah kerana saliran tak betul.
- Mudah kering dan sukar diresapi air jika dibuat saliran secara berlebihan.
- Keupayaan galas tanah rendah terutama gambut dalam dan belum matang menyebabkan operasi jentera menjadi sukar.
- Kekurangan nutrien samada makro atau mikro seperti unsur N, K, Cu, Bo, Zn dan Fe.
- Mudah menyusut akibat pereputan terutama apabila saliran dilakukan menyebabkan akar timbul dan tanaman rebah.
- Pada umumnya, tanah gambut menyusut 1 inci setiap tahun.
- Terdapat batang pokok dan akar kayu yang belum reput dengan sempurna menyukarkan operasi pertanian.
- Mudah terbakar terutama di musim kemarau.
Cara Mengatasi Masalah Tanah Gambut
1. Saliran Terkawal
Memerlukan pembinaan saliran berperingkat-peringkat mengikut keperluan dengan memastikan kedalaman parit ke bawah sedikit sahaja daripada zon akar tanaman. Pengairan terkawal dapat mengelak terbentuknya butir-butir halus yang sukar menyerap air akibat daripada saliran yang berlebihan, menjadikan unsur pemakanan lebih tersedia untuk diambil oleh akar tanaman dan menjadikan persekitaran tanah baik untuk tanaman.
2. Mengapur
Membantu mengurangkan kemasaman tanah gambur. Kapur perlu diberi pada kadar yang cukup mengikut keadaan kemasaman tanah dan jenis tanaman. Pada umumnya, sebanyak 1 tan metrik kapur GML sehektar diperlukan untuk menaikkan pH tanah sebanyak 0.17 unit. Walau bagaimanapun keperluan kapur yang banyak ini hanya untuk permulaan sahaja. Keperluan ini akan berkurangan bagi penanaman seterusnya setelah pH menjadi stabil.
3. Pemilihan Tanaman
Bagi tahun permulaan, jenis-jenis tanaman jangka pendek yang sesuai untuk diusahakan ialah jagung, ubi kayu, kacang tanah, sayur-sayuran, nanas dan sebagainya. Tanaman jangka pajang ditanam setelah tanah gambut agak matang dan paras air dalam tanah dapat diturunkan sehingga 75 sm. Pemilihan jenis tanaman jangka panjang adalah sangat terhad. Pada masa ini, kelapa sawit dan kopi didapati sesuai ditanam di atas tanah gambut dalam.
4. Penanaman Lubang di Dalam Lubang
Tanaman jangka panjang seperti kelapa sawit disyorkan ditanam menggunakan kaedah lubang di dalam lubang supaya pokok tidak mudah tumbang apabila tanah gambut mengalami pengecutan akibat pereputan.
5. Pemampatan Fizikal
Mewujudkan laluan jentera antara barisan tanaman supaya tanah gambut menjadi mampat dan pokok tidak mudah tumbang.
6. Pembajaan
Tanah gambut sangat kekurangan unsur permakanan terutama unsur N, K, cu, Bo, Zn dan Fe. Oleh itu pemberian baja yang mengandungi kedua-dua unsur makro dan mikro perlu diberikan.
Penutup
Walaupun terdapat beberapa masalah, tanah gambut masih berpotensi dimajukan untuk pertanian. Melalui sistem pengurusan tanah yang baik serta amalan agronomi yang bersesuaian, potensi untuk mengusahakan tanaman yang menguntungkan di kawasan tanah gambut adalah terbuka luas.
Sumber saya tak pasti dari mana, sebab nota ni saya copy dua tahun lepas.. Jadi, terima kasih pada yang berkenaan.. :)